Rachel, Rubisa ke final MyStarz, LG

28 Ogos 2007

Pencarian siapakah yang bakal merangkul gelaran juara program realiti MyStarz LG dan sekaligus berpeluang memenangi wang tunai berjumlah RM100,000, sebuah TV LCD berukuran 42" (kedua-dua tajaan LG) serta rakaman album dengan label antarabangsa hampir sampai ke penghujungnya.

Hamiza Tasyha Bashir, Badri Ibrahim, Khairul Hizam Kaha adalah tiga peserta yang layak ke peringkat akhir seperti yang diumumkan pada minggu lalu.

Mereka bertiga ini juga akan disertai oleh Rubisa Tiasin@Mimie dan Rachel Wesley yang terpilih menerusi pusingan wildcard yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, semalam.

Konsert wildcard malam tadi telah menyaksikan persaingan sembilan peserta yang telah tersingkir daripada program tersebut yang diberi peluang bertanding sekali lagi untuk merebut dua tempat ke peringkat akhir yang akan berlangsung pada 9 September ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).


Rubisa (kiri) dan Rachel berjaya ke peringkat akhir MyStarz menerusi pusingan 'wildcard'

Selain Rubisa dan Rachel, tujuh peserta lain yang bersaing di dalam pusingan tersebut ialah Shaza Marina Azmi, Russel Curtis, Ahmad Aliff Afif Tirmizie, Mimie Aishah, Andy Adrian J, Awang Jasmin Jaimin dan Mohd Emeer Iskandar.

Seperti biasa, markah persembahan setiap peserta malam tadi ditentukan oleh undian SMS sebanyak 40 peratus manakala selebihnya daripada penilaian juri jemputan kali ini iaitu Zainal Abidin, Pengurus Besar Jabatan Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan dan wartawan hiburan, Zubir Mohd Yunus.

"Saya memang berharap sangat untuk mara ke peringkat akhir. Walaupun macam minggu lalu ada yang cakap saya terlalu muda untuk program ini, tetapi saya anggap itu hanyalah pandangan mereka.

"Pandangan orang lain mungkin berbeza. Tetapi, saya percaya, saya tidak akan sampai ke tahap ini jika tidak ada penyokong," ujar Rachel, peserta berusia 14 tahun ini.

Malam tadi Rachel telah membawakan lagu yang dipopularkan oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza iaitu Dialah Di Hati.

Begitu juga dengan peserta berasal dari Kota Kinabalu, Rubisa Tiasin yang melahirkan rasa bersyukurnya apabila peluang kedua yang diberikan kepadanya menerusi wildcard akhirnya membuahkan hasil.

"Saya tersingkir pada minggu yang kelima dan memang saya tidak jangka akan dapat kembali semula di dalam program ini dan terus ke peringkat akhir. Saya jangkakan Russel dan Rachel lebih berpeluang ke final.

"Dalam masa dua minggu ini, sebelum berlangsungnya final nanti, saya akan cuba merujuk kepada tenaga pengajar di mana kelemahan yang perlu saya perbaiki dan saya akan cuba buat yang terbaik pada malam final itu nanti," kata Rubisa yang mendendangkan lagu Terlalu Cinta, nyanyian Rossa, malam tadi.

Dalam pada itu, pengetua MyStarz LG, Farihin Abdul Fatah ketika ditembual menerusi program Reflex yang ditayangkan secara langsung di NTV7, sebaik berakhirnya konsert MyStarz LG, semalam berkata, pemilihan Rubisa dan Rachel untuk menyertai Tasyha, Badri dan Ijam ke peringkat akhir adalah satu keputusan yang tepat.

"Kesemua peserta yang tersingkir ini telah diberi peluang sekali lagi. Dan apa yang saya nampak malam ini, Rachel dan Rubisa menunjukkan tahap keyakinan yang tinggi berbanding peserta lain.

"Cara penyampaian dan emosi yang disertakan di dalam persembahan mereka memang bagus. Sebab itu mereka memang layak ke peringkat akhir," jelas Farihin.

Begitu juga dengan penyanyi Zainal Abidin yang merasakan kedua-dua peserta tersebut lebih menonjol berbanding yang lain.

"Bila saya lihat Rachel di pentas, saya memang nampak dia terlalu 'kecil' buat saya. Tetapi, sebaik dia melontarkan suaranya, saya tahu dia memang ada potensi yang baik di dalam bidang ini.

"Sama juga dengan Rubisa, saya tidak fikirkan tentang persembahannya yang lepas. Malam ini, dia berjaya berikan yang terbaik," kata Zainal.

Kelima-lima finalis ini akan mengadakan Showcase MyStarz LG pada minggu hadapan di mana lima finalis ini akan berduet dengan rakan-rakan mereka yang lain.

Persembahan tersebut adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada penonton bagi membuat undian terhadap lima finalis ini di mana talian akan dibuka selama dua minggu bermula semalam sehingga tibanya peringkat akhir nanti.

Selain Farihin, MyStarz LG membariskan Aubrey Suwito selaku pengarah muzik. Selain diberikan pendedahan latihan sebagai penyanyi, mereka turut terlibat dalam program kebajikan dan aktiviti kemasyarakatan.

Peserta juga diberi tips tentang perhubungan awam dan bagaimana untuk menjawab soalan-soalan dari pihak media. Setiap peserta diberi pengetahuan menjaga penampilan diri (grooming) dari minggu pertama sehinggalah ke akhir episod.

Selama 13 minggu juga, semua finalis perlu mengikuti pembelajaran muzik di 'LG House' yang disampaikan sekumpulan pemuzik.

Mereka bagaimanapun tidak 'terkurung' di lokasi itu sahaja dan dikehendaki mengikuti modul pembelajaran yang telah disediakan. Mereka bebas berjumpa dengan keluarga dan rakan selepas sesi belajar.

Penaja utama MyStarz, LG ialah LG sementara penaja penginapan rasmi ialah Best Western Premier Seri Pacific Hotel sementara penaja bersama lain ialah Yamaha Music, Proton Holdings Berhad, KCC Paint Sdn Bhd, Ayamas Food Cooperation manakala penaja pakaian ialah Rizman Ruzaini, ADIDAS (M) Sdn Bhd dan Converse (M) Sdn Bhd.

LG juga menaja pelbagai alat elektrik keluarannya dan telefon bimbit model terbaru LG Shine KE970, penghawa dingin dan juga Chocolate Audio sistem yang terbaru. Sumber : mSTAR Online.



0 ulasan:

About This Blog

About This Blog

  © Blogger template Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP